Pemilik rumah buat sambungan paip haram dikompaun RM10,000

PENGUAT kuasa Jabatan Air Tawau memotong sambungan paip haram di sebuah rumah di Taman Guan Soon, Jalan Tanjung Batu Tawau, hari ini. – Gambar Ihsan Jabatan Air Tawau

TAWAU: Pemilik sebuah rumah dikompaun RM10,000 oleh Jabatan Air Tawau (JAT) kerana membuat penyambungan paip haram, dalam Ops Cegah di Taman Guan Soon, Jalan Tanjung Batu, dekat sini, hari ini.

Operasi kira-kira jam 1.50 tengah hari itu dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa JAT susulan aduan dan maklumat berkaitan kegiatan mencuri air di kawasan berkenaan.

Jurutera JAT, Asabri Robensen, berkata hasil pemeriksaan pihaknya mendapati ada satu penyambungan haram daripada paip utama terus ke rumah terbabit.

Susulan itu, beliau berkata, anggota penguat kuasa turut memotong sambungan paip haram berkenaan.

“Pemilik rumah terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003, iaitu membuat penyambungan haram.

“Selain kompaun, individu yang gagal mematuhi undang-undang dinyatakan dalam Enakmen Bekalan Air Sabah 2003, akan berdepan denda berat jika didapati melakukan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Asabri turut menasihati orang ramai, termasuk syarikat yang dikompaun sebelum ini, supaya segera menjelaskan bayaran bagi mengelakkan tindakan mahkamah yang akan menyukarkan lagi proses membuat penyambungan meter baharu.

“Pihak jabatan juga memohon kerjasama orang ramai membuat laporan atau menyalurkan maklumat berkaitan kes kecurian atau kebocoran paip air dengan menghubungi JAT melalui talian 019-535 4600 atau 089-761057,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *