‘Nyawa di hujung tanduk’

Abdul Rani menunjukkan anggota komando VAT69 yang terkorban dalam operasi di Kampung Tanduo. FOTO Muhaizan YahyaFarah Suhaidah

MELIHAT seorang daripada anggota yang berdiri di sebelah kiri terpelanting ke belakang akibat terkena tembakan peluru di bahu kiri, nyawa bekas Ketua Sektor Delta dalam tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah bagaikan di hujung tanduk.

Meskipun enam tahun berlalu, tragedi pencerobohan oleh pengganas Sulu itu masih segar dalam ingatan Timbalan Komander Komando VAT69, Asisten Komisioner Abdul Rani Alias ketika mengetuai sektor berkenaan pada 1 Mac 2013.

Abdul Rani yang pertama kali berkongsi pengalamannya itu berkata, dia dan pasukannya seramai 24 anggota mula memasuki kawasan itu pada tengah malam 28 Februari 2013 bagi menjalankan operasi pengosongan terhadap 25 rumah di kawasan terbabit.

Katanya, selepas mengosongkan kawasan, dia terdengar bunyi tembakan pada jam 9.45 pagi dari kawasan Sektor Charlie dan Sektor Bravo yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan kendaliannya.

“Saya terus mengarahkan anak buah memberi bantuan kepada kedua-dua sektor berkenaan sebelum Koperal Qaiyum (Koperal Mohd Qaiyum A’ikal Zolkipli) yang berdiri di sebelah saya tiba-tiba terpelanting ke belakang sebelum rebah (akibat terkena peluru di bahagian bahu kiri).

“Ketika itu, kami tak sedar diserang hendap di bahagian kiri dan kemudian saya nampak peluru bertali arus sebelum mengarahkan pasukan mara ke hadapan,” katanya ditemui di Bilik Gerakan Markas Komando VAT69, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh hari ini.

Abdul Rani mengakui kumpulan pengganas dalam kalangan pengikut Jamalul Kiram III dari Selatan Filipina itu adalah kumpulan pengganas yang terlatih untuk berperang.

“Sepanjang saya masuk Komando VAT69, inilah kali pertama saya berdepan dengan operasi pertempuran sebenar, selalunya hanya membabitkan penjenayah dari kumpulan kecil dan apa yang boleh saya katakan, mereka (pengganas Sulu) memang berani dan bukan calang-calang.

“Berbekalkan latihan sepanjang 20 tahun saya berkhidmat (dalam Komando VAT69), pasukan kami juga ‘well-trained’ (terlatih) dan sebab itu, kami adalah pasukan pertama yang memasuki kawasan berkenaan diikuti PGA dan tentera.

“Pertempuran itu umpama bertemu buku dengan ruas,” katanya.

Pencerobohan dan serangan di Lahad Datu enam tahun lalu memahat sejarah hitam dalam Komando VAT69 apabila dua anggotanya, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud terkorban.

Abdul Rani berkata, sebaik melihat dengan mata sendiri dua anggota berkenaan terkorban, semangatnya untuk terus bertindak memerangi musuh semakin membara.

Bagaimanapun katanya, dia mendapat arahan daripada pihak atasan untuk berundur dan dia bersama pasukannya bermalam di kawasan berkenaan hampir tiga malam sebelum bergerak ke Tanjung Batu untuk pengosongan di kawasan itu.

“Kami tak nak ‘highlight’ (ketengahkan) insiden ini sebab tragedi itu masih terngiang-ngiang di kepala kami, masih lagi terasa malah kita tidak pernah mengalami situasi di mana anggota kita gugur (dalam pertempuran) selain kes itu perlu melalui kes mahkamah, namun tahun ini kita mahu memperingati semula tragedi ini.

“Sebulan saya berada di sana, makan tidur entah ke mana namun saya puas sebab keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman (hukuman mati terhadap sembilan pengganas Sulu) adalah satu pembelaan kepada anggota yang gugur,” katanya.

Berikutan itu, Abdul Rani berkata, majlis memperingati kejadian itu akan diadakan 1 Mac ini di PGA Ulu Kinta dan antara tetamu kenamaan yang bakal hadir termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman serta Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali. – Berita Harian