Tamu minggu, pasar malam di Takada kekal sementara

Pasar Tamu Takada, Tawau

TAWAU, 25 Feb – Tapak tamu mingguan serta pasar malam di Takada di sini tidak akan dipindahkan buat sementara waktu sehingga keputusan dibuat untuk memindahkannya ke lokasi lain,  kata Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT)  Alijus Sipil.

Katanya isu yang berbangkit sekarang adalah berkaitan penamatan kontrak syarikat konsesi yang bertanggungjawab mengurus tamu dan pasar itu.

“Setelah membuat penelitian dan kajian di lapangan serta beberapa siri mesyuarat diadakan, MPT  mengambil keputusan menamatkan syarikat konsesi pasar malam dengan notis satu bulan yang akan berakhir 2 Mac ini dan pasar tamu mingguan pula notis berakhir pada 24 Feb (semalam),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, kira-kira 100 peniaga pasar tamu itu berhimpun secara aman sebagai membantah dakwaan arahan berpindah tapak berniaga ke lokasi baharu ditetapkan MPT.

Dalam pada itu, Alijus berkata tamu mingguan dan pasar malam itu akan dikendalikan semula oleh MPT sehingga terdapat keputusan untuk pelantikan konsesi baharu.

“Kerisauan para penjaja tidak berasas kerana pihak MPT tidak berhasrat menutup periuk nasi mereka, tetapi MPT akan mengambil alih pengurusan tamu dan pasar malam itu untuk kajian secara terperinci,” katanya.

Alijus berkata  terdapat banyak aduan sama ada secara lisan mahupun bertulis mengenai pelbagai isu di tamu dan pasar malam Takada itu sepanjang dikendalikan konsesi yang dilantik.

“Berdasarkan kajian di lapangan bulan lepas, terdapat 610 orang penjaja di Takada dan angka itu jauh lebih besar daripada maklumat asal yang diberi oleh konsesi iaitu hanya 300 penjaja sahaja.

“Sebab itu beri ruang dan peluang kepada MPT untuk penapisan, sekali gus memberi ruang kepada penjaja yang layak di kawasan itu sebab difahamkan terdapat juga penjaja yang tidak memiliki dokumen turut menjual di situ,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata  pihaknya turut mengenal pasti beberapa lokasi alternatif yang masih dalam perbincangan untuk memindahkan tapak tamu mingguan Takada itu, antaranya di Sabindo.

— BERNAMA

Alijus berkata semasa sidang media di Bilik Gerakan Majlis Perbandaran Tawau. – Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
485