Polis Sabah tahan lebih 13,000 pesalah dadah

LABUAN, 25 Feb – Kontinjen polis Sabah menahan 13,914 individu bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 tahun lepas, berbanding 10,894 orang pada 2017, peningkatan 27.72 peratus.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik merampas 201.9 kilogram syabu, lima kg ganja, 411.69gm ketamin, 351 pil ekstasi dan enam kg daum ketum.

Beliau berkata jabatan itu juga menahan 71 pengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, sebahagian daripada mereka dikenakan perintah sekatan dan tahanan di pusat pemulihan mental.

“Susulan penahanan itu, kami menyita aset pengedar dadah bernilai RM14.8 juta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, iaitu RM5.4 juta pada 2018 dan RM9.4 juta pada 2017.

“Rampasan itu berjaya melumpuhkan sindiket dadah di Sabah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Sarang peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan di sini hari ini.

Omar berkata antara Januari hingga 21 Feb tahun ini, 2,299 individu ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

“Daripada jumlah itu, 168 ditahan bagi kesalahan mengedar dadah dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (2) dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata rampasan syabu bagi tahun 2019 setakat ini adalah yang tertinggi dengan 3.9kg, diikuti daun ketum (enam kg).

Omar berkata polis Sabah sedar mengenai penyalahgunaan daun ketum yang semakin menjadi-jadi di Sabah, yang berasal dari Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata dianggarkan kira-kira 60 peratus mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan pengedaran adalah rakyat tempatan dan selebihnya pendatang tanpa izin dan warga asing.

Sementara itu, dalam Op Sarang di Labuan, Omar berkata 68 orang diperiksa termasuk seorang wanita.

“Daripada jumlah itu, kami menahan 7 orang dan membuka kertas siasatan bagi kesalahan dadah di bawah Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan merampas 11.08gm syabu,” katanya.

Beliau berkata operasi tiga jam itu yang diadakan sejak 4 pagi hingga 7 pagi tadi, membabitkan anggota dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan pihak berkuasa tempatan.

— BERNAMA