Buang rasa malu demi lihat anak sihat

Mohd Soffian dan isteri bersama Mohd Syafiee yang menghidap kanser usus. Foto Hazsyah Abdul Rahman

GURU merayu orang ramai untuk membantu meringankan beban keluarga menampung kos rawatan anak yang menghidap kanser usus tahap empat.

Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Melanta itu, Jeffry Peter @ Mohd Soffian Abdullah, 47, berkata, anaknya, Mohd Syafiee Jeffry, 23, perlu mendapatkan rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang dianggarkan mencecah RM20,000.

Katanya, penderitaan anaknya bermula tiga tahun lalu ketika sedang melanjutkan pengajian di Politeknik Kota Kinabalu dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

“Sekitar Ogos 2017, dia disyaki menghidap apendiks dan terpaksa menjalani pembedahan. Selepas itu, Syafiee turut menjalani pembedahan pembuangan usus sepanjang lima sentimeter di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

“Tidak lama kemudian, anak dikesan menghidap kanser tahap tiga menyebabkan dia terpaksa menjalani rawatan kimoterapi, sebelum doktor memberitahu sel kansernya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Sandakan.

Mohd Soffian berkata, keadaan kesihatan anaknya baik sehingga Disember tahun lalu, apabila anak sulung dari tujuh beradik itu sekali lagi perlu dibedah untuk memotong ususnya bagi mengubah cara pencernaannya.

“Kami kemudiannya diarahkan supaya membawanya untuk pemeriksaan di Institut Kanser Negara (IKN) dan dia disahkan menghidap kanser tahap empat sehinggalah kini.

“Doktor yang merawatnya di HDOK menasihatkan kami supaya membawanya ke PPUM untuk rawatan lanjut.

“Mereka memberitahu, PPUM mempunyai rawatan sesuai untuk boleh membuang sel kansernya,” katanya

Menurutnya, dia tidak boleh membuat pinjaman lagi kerana sudah melebihi kelayakan selain namanya disenarai hitam.

“Kami sudah cuba pergi ke beberapa bank, tetapi gagal mendapatkan pinjaman, tambahan pula hanya saya seorang yang menyara hidup kami sekeluarga.

“Kalau mengharapkan simpan duit, akan mengambil masa lama. Keluarga dan rakan pula sudah terlalu banyak membantu kami sekeluarga,” katanya.

Mohd Soffian berkata, demi anaknya dia sudah berusaha sedaya untuk membawa anaknya ke semenanjung bagi mendapatkan rawatan.

“Kami memerlukan wang dengan segera. Kalau lambat, risau kesihatannya semakin teruk.

“Saya buang semua perasaan malu (untuk mendapatkan duit), penting anak saya kembali sihat,” katanya.

Mohd Soffian berkata, orang ramai yang mahu membantu boleh menghubungi mereka di talian 011-21515261 atau melalui akaun CIMB Bank isterinya, Surina A Tahir (7038299712) atau Bank Simpanan Nasional anaknya Syafiee (1010741000033064). – Harian Metro