Jelius masih tak puas hati aksi Tambadau

Pengendali Sabah, Jelius Ating.

KOTA KINABALU: Walaupun mencatat kemenangan dua kali berturut-turut dalam aksi Liga Perdana selepas menewaskan Sarawak di Kuching, pada Sabtu, pengendali Sabah, Jelius Ating, menegaskan masih banyak lagi kelemahan yang perlu diatasi.

Jurulatih berusia 48 tahun itu berkata, antara kelemahan perlu diatasi adalah di bahagian tengah yang harus lebih kreatif untuk melorongkan bola kepada bahagian serangan.

“Walaupun mencatat kemenangan, saya lihat masih ada lagi kelemahan dan ia perlu diatasi sekiranya kita berangan-angan untuk pergi lebih jauh.

“Selain bahagian tengah, kita juga perlu perbaiki disiplin kita di atas padang terutama ketika kita mendahului kerana saya melihat mereka agak selesa dan ia menyebabkan kelekaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jelius berkata, sekiranya mereka mampu mengatasi semua masalah berkenaan, tugas mereka untuk memenangi perlawanan akan lebih mudah.

Kapten Sabah, Rawilson Batuil (kiri) menghalang tendangan pemain Sarawak, Nur Shamie iszuan Amin pada saingan Liga Perdana di Stadium Negeri, Sabtu lalu. – Foto BERNAMA

“Kita akan mencari jalan bagaimana mengatasi masalah ini, dan kami juga akan cuba mengatasi masalah penyudah kerana walaupun kami menang, banyak peluang yang gagal disudahkan dengan baik,” katanya.

Jelius bagaimanapun secara keseluruhan, berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan anak didiknya sehingga berjaya memenangi perlawanan di gelanggang lawan.

“Ini kemenangan pertama kita di gelanggang lawan musim ini dan saya harap ianya bukan yang terakhir. Saya harap kemenangan ini juga memberi kita motivasi untuk aksi-aksi akan datang.

Apa yang penting kita mengekalkan momentum ini (kemenangan),” katanya.

Skuad Tambadau akan meneruskan saingan liga bertemu PDRM di Stadium Likas, di sini, Sabtu ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *