Warga Filipina maut ketika joging

SEKADAR GAMBAR HIASAN

SANDAKAN, 23 Feb – Mayat seorang lelaki warga Filipina ditemukan di kawasan sebuah bulatan di pusat bandar Sandakan di sini kira-kira pukul 7.15 pagi tadi, kata Ketua Polis Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Gabil Hamis, 55, yang bekerja sebagai penjaja di Jalan Singapura di sini, dikatakan keluar berjoging lebih kurang 7 pagi sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam.

“Pihak ambulans yang tiba membuat pemeriksaan, mengesahkan mangsa telahpun meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Azhar berkata hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan disebabkan unsur jenayah pada mayat mangsa.

Beliau juga berkata isteri mangsa memaklumkan bahawa mangsa sememangnya mengalami penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi menerima rawatan setiap bulan di sebuah klinik swasta.

— BERNAMA

255