Tiga projek untuk kemudahan penduduk Sandakan akan dimula pada tahun ini

KOTA KINABALU, 23 Feb – Tiga projek untuk kemudahan penduduk daerah Sandakan yang membabitkan peruntukan berjumlah RM128 juta akan dilaksanakan pada tahun ini.

Ia hasil pertemuan antara Anggota Parlimen Sandakan, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur, semalam.

Wong dalam satu kenyataan di sini, hari ini, berkata projek pertama adalah membaikpulih bangunan lama Hospital Duchess of Kent Sandakan dengan kos RM8 juta. 

Katanya projek itu kini dalam proses menyiapkan dokumen tender dan dijangka akan dimulakan pada Mei ini. 

Projek kedua ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anib Sandakan dan sejumlah RM40 juta akan diperuntukkan dengan kini tender telah dipanggil. 

Beliau berkata projek ketiga ialah pemanjangan landasan lapangan terbang Sandakan yang melibatkan kos sebanyak RM80 juta akan dimulakan tidak lama lagi.

“Saya merakamkan penghargaan terhadap keprihatinan Lim dan Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek untuk manfaat rakyat dan daerah Sandakan,” katanya.

Wong berkata dalam pertemuan itu, beliau juga membangkitkan isu peningkatan bajet peruntukan untuk memperbaiki hospital di Sabah, pengecualian cukai untuk sekolah dan badan agama, menubuhkan Pusat Transformasi Bandar Sandakan (UTC) dan Skim Persaraan untuk Pencen Lembaga Pelabuhan Sabah.

— BERNAMA

328