Guru dari ‘neraka’

Moli dan Pingping melakukan penderaan ke atas kanak-kanak di sebuah taska di Prato, Itali. Foto Youtube

TUSCANY (Itali): Dua guru tadika warga China di Itali ditangkap selepas satu rakaman video dari kamera tersembunyi menunjukkan mereka memukul, menendang dan mengheret kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Media Itali melaporkan, melalui kamera yang dipasang secara rahsia oleh polis, Zheng Moli, 38, dan Hong Pingping, 26, didapati mendera kanak-kanak berusia dalam lingkungan tiga hingga enam tahun itu sebanyak 41 kali pada bulan lalu sahaja.

Dalam rakaman video yang disiarkan polis, menunjukkan seorang guru wanita menampar dan menendang seorang kanak-kanak yang duduk di kerusi sebelum mengheretnya keluar kelas.

Seorang lagi guru wanita pula dilihat mengangkat dan menghayun seorang kanak-kanak ketika memarahinya.

Satu lagi kejadian berasingan, seorang guru mengejar seorang kanak-kanak lelaki dan memukulnya dengan menggunakan mop.

Kamera itu turut merakamkan kanak-kanak dipukul dengan rotan dan jatuh selepas ditolak oleh guru di tadika berkenaan.

Media di China melaporkan, Zheng yang memperoleh ijazah pendidikan di China mendakwa, dia bukan mendera tetapi itu adalah cara pengajaran yang biasa dilakukan negara asalnya.

“Tiada siapa yang memberitahu saya supaya tidak menggunakan rotan di Itali,” katanya yang menambah tujuan menggunakan rotan adalah untuk mendisiplinkan kanak-kanak.

Kedua-dua guru wanita itu yang bekerja di sebuah tadika di China Town di Prato ditangkap pada 31 Januari lalu dan kini didakwa di mahkamah.

Menurut laporan La Repubblica Firenze, kanak-kanak yang belajar di tadika itu adalah daripada penduduk etnik Cina yang menetap di Itali. – Agensi

KANAK-KANAK berumur dalam lingkungan 3 hingga 6 tahun menjadi mangsa mereka. FOTO Youtube
KANAK-KANAK berumur dalam lingkungan 3 hingga 6 tahun menjadi mangsa mereka. FOTO Youtube