Filipina Teruskan Usaha Dan Kerjasama Bantu Warga Filipina Tanpa Dokumen Di Sabah

Mohd Shafie berbincang dengan Jose (kiri) semasa kunjungan hormat tersebut. Gambar Bernama

KOTA KINABALU, 21 Feb – Kerajaan Filipina akan meneruskan kerjasama erat dalam menangani beberapa isu bersama dengan Malaysia, terutama yang berkaitan dengan jumlah warga negara itu yang tidak memiliki sebarang dokumen yang tinggal di Sabah.

Duta Besar Filipina ke Malaysia Charles C. Jose berkata pihaknya masih tetap bekerjasama rapat dengan kerajaan Sabah dalam menangani perkara itu.

“Walaupun tuntutan Filipina terhadap Sabah masih belum digugurkan, ia (tuntutan) tidak diteruskan secara aktif, jadi bagi kami di kedutaan, kami memberi lebih banyak tumpuan kepada usaha membantu rakyat Filipina di Sabah,” kata Jose kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat keatas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini hari ini.

Merujuk kepada permohonan oleh pihak Malaysia supaya Filipina menubuhkan pejabat konsulat di Sabah, Jose berkata sebarang keputusan mengenai perkara itu adalah di luar daripada bidang kuasanya.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan di Manila, dan pihak kedutaan akan melaksanakan apa jua keputusan yang dicapai oleh pihak berkuasa Filipina

Jose seterusnya menyentuh kepada penyelesaian isu yang berkaitan dengan cadangan penubuhan Bangsamoro Autonomous Region di Muslim Mindanao (BARMM), yang menurutnya akan menyumbang kepada kestabilan dan keselamatan di Selatan Filipina, dengan kesan sampingannya juga akan mengurangkan ancaman terhadap pantai timur Filipina.

“Sulu adalah salah satu kawasan yang mengundi untuk menjadi sebahagian daripada BARMM, tapi ia tidak akan memberi kesan kepada wilayah berkenaan ketika ini.

“Kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Jolo, Sulu, menampilkan ancaman terbesar kepada kami – tapi sebenarnya kami berharap BARMM akan membawa keamanan serta pembangunan, dan sekiranya kawasan itu menjadi aman sejahtera, ia akan membanteras pelbagai ancaman serta aktiviti jenayah seperti penculikan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *