Warisan tak boleh halang kemasukan PPBM ke Sabah, kata Shafie

Shafie Apdal menasihatkan penyokong Warisan bertenang, walaupun PPBM melanggar persetujuan untuk tidak melebarkan sayap ke Sabah.

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, parti pimpinannya tidak boleh menghalang mana-mana parti melebarkan sayap ke Sabah, termasuk PPBM dan ia akan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) demi kepentingan rakyat.

Ketua menteri Sabah itu menasihatkan penyokong Warisan bertenang, walaupun ia mencapai persetujuan dengan PH sebelum pilihan raya umum ke-14 yang PPBM tidak akan menjejakkan kaki ke negeri itu.

“Berhubung kemasukan PPBM ke Sabah, kita tidak boleh menghalang mereka atau mana-mana parti atas perkara itu. Undang-undang kita turut membenarkan parti baru ditubuhkan.

“Kami bagaimanapun sangat jelas dengan pendirian dan hala tuju parti kami.

“Saya tahu perasaan penyokong kami dan juga rakyat di Sabah berhubung keputusan PPBM,” katanya yang membacakan kenyataan disediakan dalam sidang media ringkas hari ini.

Shafie menasihatkan pemimpin Warisan kekal fokus dalam pembangunan Sabah demi manfaat rakyat.

“Mentadbir Sabah berdasarkan kemampuan kita dan memastikan hak kita dikembalikan serta disahkan mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang kekal sebagai keutamaan kami.

“Kami akan terus bekerjasama dengan mereka demi kepentingan rakyat.”

Shafie berkata, beliau belum menemui Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beliau mengumumkan keputusan PPBM mengembangkan sayap ke Sabah minggu lalu. – FreeMalaysiaToday