Sabah benam Terengganu FC II

PEMAIN Sabah, Luka Milunovic (tengah) di asak pemain TFC II pada saingan Liga Perdana 2019 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi. – NSTP/Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Sabah bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum membenam Terengganu FC II (TFCII) 3-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, di sini, malam ini. 

Separuh masa pertama menyaksikan permainan agak perlahan dengan bola lebih banyak berada di kawasan tengah. 

Peluang terbaik Sabah hadir pada minit kesembilan menerusi tandukan Luka Milunovic hasil hantaran Mohd Azzizan Nordin namun tandukannya itu berjaya diselamatkan penjaga gol Terengganu FC II (TFCII), Mohd Shamirza Yusoff. 

PENYERANG Sabah Maxsius Musa (tengah) cuba melepasi pemain pertahanan pasukan TFC II dalam saingan Liga Perdana di Stadium Likas, sebentar tadi. – Foto BERNAMA

TFCII yang sekali-sekala membahayakan kubu Sabah kemudian memperolehi gol pertama pada minit ke-39 menerusi Mohd Ramzi Sufianyang menyempurnakan hantaran Mohd Ridzuan Mohd Razali bagi menjadikan kedudukan 1-0 dan kedudukan itu kekal sehinggat tamat separuh masa pertama. 

Bermula babak kedua, skuad Tambadau tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila pertahanan import mereka, Park Taesu menjaringkan gol pada minit ke-50 selepas keadaan kelam kabut dalam kotak penalti.

Luka Milunovic kemudian menggegar jaring lawan pada minit ke-60 namun gol itu tidak dikira kerana pengadil mendapati pemain tengah itu lebih dulu mengasari pertahanan lawan. 

Bagaimanapun dia berjaya menebus kekecewaannya apabila meledak gol kedua Sabah menerusi sepakan percuma untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Pada minit ke-68, Paunovic hampir menambah jaringan buat pasukannya namun tandukannya sekadar singgah di palang. 

Pemain gantian, Ricco Nigel Milus kemudian menceriakan lebih 2,000 penyokong tuan rumah apabila menyempurnakan hantaran Milunovic pada minit ke-73 bagi menjadikan kedudukan 3-1 dan ianya kekal sehingga wisel penamat. 

Kemenangan itu adalah yang pertama buat skuad kendalian Jelius Ating selepas tiga perlawanan.  – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *