Hanyut jenazah ke kubur

Petikan rakaman video penduduk mengusung keranda yang tular. – Agensi

SURABAYA: Ketiadaan jambatan menyebabkan penduduk di sebuah daerah di Jawa Timur terpaksa menghanyutkan keranda berisi jenazah ketika menyeberang sungai untuk ke tanah perkuburan.

Difahamkan, penduduk di daerah Gresik, terpaksa berbuat demikian setiap kali ada kematian terutama ketika musim hujan apabila air sungai dalam dan tidak boleh dilalui dengan berjalan kaki.

Penduduk menggunakan sekurang-kurangnya tiga tiub tayar lori bagi membina rakit untuk diletakkan keranda di atasnya.

Kejadian terbaru, rakaman video penduduk menghanyutkan jenazah menggunakan rakit itu tular di media sosial.

Menurut laporan Tribune News, rakaman yang dimuat naik di akaun Instagram @ndorobeii Rabu lalu, menunjukkan penduduk bekerjasama membawa keranda menyeberangi sungai dalam keadaan arus deras untuk ke tanah perkuburan.

Seorang penduduk dikenali sebagai Doni berkata, mereka terpaksa melalui kesukaran itu setiap kali berlaku kematian akibat ketiadaan jambatan, terutama ketika musim hujan apabila air sungai naik.

“Jika musim kemarau, sungai agak kering membolehkan kami menyeberang dengan berjalan kaki, ” katanya.

Penduduk daerah itu mendakwa mereka sudah mengajukan masalah terbabit kepada pihak berkuasa tempatan tetapi tidak diendahkan, lalu memuat naik rakaman itu ke media sosial dengan harapan diberi perhatian segera. – Agensi

251