RON95, RON97 naik satu sen, diesel kekal

– Grafik BERNAMA

PUTRAJAYA: Harga runcit petrol RON97 dan RON95 naik satu sen masing-masing pada harga RM2.28 seliter dan RM1.98 seliter, manakala diesel kekal RM2.18 seliter, mulai tengah malam tadi.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, harga runcit produk petroleum yang ditetapkan itu bagi tempoh 16 Februari sehingga 22 Februari ini.

“Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

“Harga purata produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia telah meningkat berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada AS$62 setong kepada AS$63 setong bagi petrol RON95 dan daripada AS$73 setong kepada AS$74 setong bagi diesel,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, peningkatan harga pasaran global ini menyebabkan kenaikan harga runcit bagi produk petrol dan diesel.

“Namun harga runcit petrol RON95 masih lagi di bawah paras penstabilan harga yang dijanjikan oleh kerajaan iaitu RM2.20 seliter.

“Bagi produk diesel, peningkatan harga pasaran ini menyebabkan harga runcit produk diesel sepatutnya naik sebanyak satu sen seliter berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, menjadikan harga pasaran sebenar sebanyak RM2.20 seliter.

“Kenaikan minimum bagi kedua-dua produk ini juga didorong oleh faktor pengukuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) berbanding mata wang Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimana pun, selaras dengan janji kerajaan untuk menstabilkan harga runcit diesel pada paras RM2.18 seliter, harga runcit diesel bagi tempoh 16 Februari sehingga 22 Februari ini adalah dikekalkan pada paras RM2.18 seliter dan bukannya RM2.20 seliter,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *