BERSATU sah lebarkan sayap ke Sabah

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur. – Foto FMT

KUALA LUMPUR: Seperti dijanjikan lebih sebulan lalu, akhirnya hari ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan mereka akan melebarkan sayapnya ke Sabah .

Mengumumkan perkara itu, Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi parti hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu juga memutuskan penubuhan BERSATU di Sabah adalah untuk menguatkan lagi kedudukan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

“Kehadiran BERSATU di Sabah untuk menguatkan kerajaan, bukan menentang kerajaan negeri yang dipimpin parti Parti Warisan Sabah (WARISAN), lagipun PH menerima WARISAN dalam kerajaan dan membantu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Ketua Menteri Sabah) membentuk kerajaan.

“Kehadiran BERSATU bukan untuk menukar kerajaan dan kita buat keputusan ini selepas melihat keadaan di Sabah, di mana ada yang tidak mahu menyertai WARISAN, sebaliknya menyokong BERSATU,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Tertinggi BERSATU di Yayasan Al Bukhary di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Penerangan, Dr Mohd Radzi Jidin.

Dr Mahathir berkata, mesyuarat juga menetapkan kemasukan ahli baharu di Sabah bukan dalam kalangan ahli parti kerajaan sedia ada iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Malah, katanya, keahlian BERSATU di Sabah tidak terhad kepada bekas ahli UMNO saja.

“Keadaan sekarang ialah semua tiga parti PH sudah berada lama di Sabah dan mereka mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). BERSATU tidak ada di sana sebab kita serah peranan itu kepada Mohd Shafie yang menubuhkan parti WARISAN.

“Dengan adanya parti yang menyokong kerajaan PH, kita (berjaya) menang di Sabah, yang memerintah Sabah (ketika ini) adalah PH, dipimpin WARISAN. Ini perkara luar biasa sebab WARISAN bukan ada dalam PH, bukan ahli dalam PH,” katanya.

Katanya, masalah timbul apabila ahli-ahli UMNO di Sabah keluar UMNO dan membubarkan parti itu.

Ia berikutan ada kalangan mereka memilih untuk masuk BERSATU dan bukan WARISAN, yang menjadi parti penyokong PH.

“UMNO sudah tiada di Sabah dan mereka pula memilih untuk tidak menyertai Warisan melainkan seorang saja. Yang lain minta nak jadi ahli BERSATU, namun, kita tidak ada di sana.

“Ini menyukarkan parti kita di Sabah dan kerjasama kita dengan orang bekas UMNO yang sebenarnya ingin menjadi ahli BERSATU,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mengulangi syarat kemasukan ke dalam BERSATU adalah keluar daripada UMNO, menjadi ahli parti bebas dan menunjukkan sokongan kepada parti sebelum diterima sebagai ahli. – Berita Harian