Suspek Tetak Warga Australia Akhirnya Ditangkap

Roy, suspek kes tetak seorang lelaki warga Australia 24 Januari lalu berjaya diberkas polis hari ini. Gambar SNT/Ehsan IPD Tuaran

TUARAN: Suspek dalam kes mencederakan seorang pengusaha sebuah inap desa menggunakan parang berhampiran kampung Kiwoi Tamparuli berjaya diberkas hari ini – 22 hari selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superitendan Dzulbaharin Ismail berkata suspek yang juga dikenali sebagai Roy Samad Totong, seorang warga Filipina berjaya ditangkap di Jalan Saga Kampung Likas.

Roy, suspek kes tetak seorang lelaki warga Australia 24 Januari lalu berjaya diberkas polis hari ini. Gambar SNT/Ehsan IPD Tuaran

“Bertindak hasil risikan yang dijalankan dan maklumat yang diterima, kira-kira pukul 1 petang, sepasukan pegawai polis dari cawangan Ronda Jenayah Balai Polis Inanam telah menahan seorang lelaki yang mencurigakan di kawasan tersebut.

“Suspek yang berumur dalam lingkungan 36 tahun itu cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap di dalam sebuah rumah yang tidak bernombor.

“Semasa tangkapan dibuat berlaku pergelutan antara pihak polis dan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya suspek tanpa dokumen itu dibawa balik ke Balai Polis Inanam dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk tindakan lanjut.

Jelasnya hasil soal siasat suspek mengaku telah menetak mangsa menggunakan parang miliknya.

“Suspek mengaku insiden tersebut berpunca akibat salah faham antara tangkapan dan mangsa.

“Tangkapan akan direman bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Mangsa yang berlumuran darah dihantar ke Hospital QE1 pada 24 Januari lalu. Gambar Fail SNT

Terdahulu, pada 24 Januari, insiden tersebut bermula akibat salah faham yang berlaku antara suspek dan mangsa yang juga warga Australia, 46, yang berkahwin dengan warga tempatan.

Akibat perselisihan faham tersebut kira-kira pukul 2.49 petang, suspek berasa tidak puas hati dengan mangsa lalu mengeluarkan parang dan mengejar mangsa.

Mangsa cuba meminta bantuan, namun gagal kerana suspek berjaya mengejar mangsa dan menetaknya berhampiran Kampung Kiwoi Tamparuli sebelum melarikan ke hutan berhampiran.

Hasil siasatan di tempat kejadian, terdapat tompokan darah sejauh 40 meter daripada lokasi mangsa ditemui terbaring berlumuran darah.

Mangsa yang dikenali sebagai Daniel mengalami kecederaan pada kedua-dua belah lengan dan bahagian belakang kepala.

Daniel telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Satu untuk mendapatkan rawatan dan telahpun dibenarkan pulang.

Namun demikian, menurut isteri Daniel, penglihatan suaminya masih belum pulih, dipercayai terjejas akibat kecederaan di bahagian belakang kepalanya.-SabahNewsToday

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/suspek-tetak-warga-australia-akhirnya-ditangkap/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *