Jepun tingkat pelaburan, yakin kerajaan baharu – Darell

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia bakal menerima semula pelaburan daripada Jepun selepas negara berkenaan kembali yakin dengan pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking, berkata selain Jepun, negara ini turut menerima pelaburan baharu dari negara lain.

Katanya, untuk pelaburan dari Jepun, negara matahari terbit itu bukan saja berminat untuk membawa pelaburan baharu di negara ini, malah ingin memperbesarkan pelaburan sedia ada.

“Kerjasama ini disebabkan hubungan baik yang sudah lama terjalin antara Perdana Menteri dan Jepun.

“Saya juga berpeluang berjumpa dengan beberapa pengerusi syarikat besar di Jepun, di mana mereka memberi jaminan untuk meningkatkan pelaburan kerana percaya dengan kerajaan sekarang.

“Semasa lawatan Perdana Menteri di sana juga, kita berjaya mendapat pelaburan berjumlah ratusan juta, yang bukan saja dari segi duit tetapi juga perlu dilihat dari segi teknologi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di Wisma Putra hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengesahkan pelabur Jepun kini kembali yakin untuk melabur di Malaysia berikutan kedudukan ekonomi negara yang semakin mengukuh dan memberangsangkan.

Guan Eng yang mengetuai siri jelajah Kementerian Kewangan ke Jepun selama tiga hari bermula 6 Februari lalu berkata, antara faktor keyakinan itu adalah berdasarkan kemampuan Malaysia dalam menangani isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *