Tiga kes demam campak di Sabah babit kanak-kanak tidak mendapat suntikan imunisasi

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 14 Feb – Tiga kes demam campak yang dilaporkan di negeri ini sehingga 9 Februari lepas membabitkan kanak-kanak tidak pernah mendapat suntikan imunisasi dan dua daripada mereka bukan warganegara.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata kanak-kanak terlibat berumur setahun hingga enam tahun.

Katanya pada tahun lepas, sebanyak 73 kes demam campak dan satu kematian dilaporkan dengan 40 peratus kes adalah kalangan kanak-kanak yang berumur di antara dua hingga tujuh tahun.

Majoriti kes merupakan penduduk warganegara dan selebihnya penduduk bukan warganegara dengan hanya 15 peratus pernah mendapatkan suntikan imunisasi, katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Laman Web dan Sambutan Tahun Baru Cina kementerian itu di sini, hari ini.

Wong berkata empat daerah tertinggi kes demam campak pada tahun lepas adalah Kudat sebanyak 30 kes, Semporna (21 kes), Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing empat kes.

Mengenai perkembangan kes demam denggi di negeri ini, beliau berkata terdapat 103 kes dilaporkan sejak I Januari sehingga 2 Februari lepas.

Katanya kementeriannya mengambil perhatian dan tindakan untuk menangani kes demam denggi dilaporkan adalah tinggi pada bulan pertama tahun ini.

Justeru, katanya, beliau telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah terus mempertingkatkan usaha untuk menurunkan kes demam denggi menerusi aspek pendidikan kepada masyarakat termasuk mengadakan gotong royong di kawasan yang telah dikenal pasti.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *