Suami isteri aktif curi bateri lori dicekup

Polis merampas beberapa peralatan serta menahan sepasang suami isteri yang aktif mencuri bateri lori di sekitar kawasan bandar, Batu 10 dan kawasan perindustrian Batu 3 Jalan Apas, di Tawau. Foto Ihsan Polis

KEGIATAN licik pasangan suami isteri yang aktif mencuri bateri lori di sekitar kawasan bandar ini, Batu 10 dan kawasan perindustrian Batu 3 Jalan Apas, Tawau dekat sini, tumpas apabila mereka ditahan polis, baru-baru ini.

Suspek lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dan isterinya warga asing berumur 27 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Dunlop, jam 7 malam pada 1 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, susulan penahanan kedua-dua suspek, polis berjaya menyelesaikan enam kes kecurian bateri lori yang dilaporkan antara September 2018 sehingga Januari 2019.

Katanya, polis menyerbu sebuah kedai besi buruk di sini petang semalam dan menahan seorang pekerja di premis berkenaan, selain merampas tiga bateri lori yang dipercayai dijual oleh suspek.

“Turut dirampas ialah sebuah kereta yang disewa mereka, kabel bateri, amplifier, sarung tangan dan peralatan yang disyaki digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah terbabit.

“Seorang pekerja kedai besi buruk warga tempatan berusia 34 tahun yang menerima atau membeli bateri daripada suspek turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Fadil berkata, selain terbabit dalam kes curi, suspek lelaki didapati mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan pernah menjalani hukuman penjara selama tiga bulan pada 2017.

“Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 379 A (2) Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri komponen kenderaan, Seksyen 411 dan Seksyen 414 kerana memiliki/menerima harta curi dan menghapuskan harta curi,” katanya. – Harian Metro

Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *