‘Menangis sebaik tersedar’

Lelaki disyaki gangguan jiwa berdiri walaupun jemaah lain hampir selesai lakukan solat asar di Masjid Negeri, Kota Kinabalu. – Ihsan Pembaca

“SEBAIK dibacakan ayat rukyah oleh imam, setengah jam kemudian pemuda itu sedar dalam keadaan badan menggigil sambil menangis,” kata pengawal keselamatan Masjid Negeri Sabah, Arawan Hassan, 47.

Semalam tular video berdurasi 1 minit 12 saat memaparkan memaparkan imam masjid membacakan ayat rukyah terhadap seorang lelaki yang masih berdiri kaku selepas jemaah selesai menunaikan solat Asar di Masjid Negeri.

Difahamkan, kejadian itu berlaku Ahad lalu apabila lelaki terbabit berdiri kaku lebih sejam sementara jemaah masjid sedang tahiyat akhir sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen di laman sosial Facebook.

Arawan berkata, sebelum solat Asar, lelaki itu menunaikan solat Zohor di ruang solat di tingkat atas dan ketika itu tiada perkara pelik berlaku kepadanya.

“Ketika solat Zohor saya berjaga di bahagian belakang dan melihat lelaki itu menunaikan solat Zohor seperti biasa. Namun ketika solat Asar, lelaki itu naik semula untuk sembahyang dan saya juga berada di bahagian belakang bagi menjaga keselamatan.

“Ketika jemaah lain sedang tahiyat akhir, lelaki itu hanya berdiri kaku dan tidak bergerak sehinggalah selesai solat dia masih berdiri,” katanya ketika ditemui di Masjid Negeri, hari ini.

Menurutnya, dia kemudian menghampiri lelaki itu lalu menepuk belakang sambil memberi salam.

“Sebaik jemaah lain selesai solat Asar, saya menghampirinya dan memberi salam, namun lelaki itu diam dan terus berdiri kaku.

“Badannya agak sejuk lalu saya memanggil imam untuk memeriksa namun lelaki itu masih berdiri.

“Imam kemudian membacakan ayat rukyah dan setengah jam kemudian lelaki itu sedar dalam keadaan badannya menggigil sambil menangis,” katanya.

Arawan berkata, selepas itu, beberapa jemaah menegur dan meminta lelaki itu menyebut namanya.

“Dia sedar dan memberitahu namanya sebelum mengadu kelaparan. Seorang jemaah kemudian membawa mangsa ke restoran berhampiran untuk membelikannya makanan,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pembersihan Masjid Negeri Amri Amir berkata, cerita yang tular itu kurang tepat kerana lelaki itu mula berdiri ketika Solat Asar dan bukan daripada Solat Zohor.

Katanya, lelaki itu bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan penghawa dingin dan pernah membuat penyelenggaraan di Masjid Negeri.

“Kita ada memaklumkan perkara itu kepada majikannya dan kami diberitahu lelaki itu sering meracau dan kadang-kala bercakap sendiri, dua hari sebelum kejadian juga dia bersikap demikian.

“Selepas lelaki itu sedar, dia mendakwa ternampak api menyebabkan dia ketakutan dan menggigil serta tidak sujud. Tetapi kejadian seperti ini bukan kali pertama dan pernah berlaku sebelum ini… janganlah kita berfikir bukan-bukan sehingga menjadi syirik.

“Mereka ini mengalami gangguan dan sebaik dibacakan ayat rukyah, keadaan mereka kembali baik,” katanya yang juga pengamal perubatan Islam dari Darussyifa. – Harian Metro

Lelaki disyaki gangguan jiwa berdiri walaupun jemaah lain hampir selesai lakukan solat asar di Masjid Negeri, Kota Kinabalu. – Ihsan Pembaca
Lelaki disyaki gangguan jiwa berdiri walaupun jemaah lain hampir selesai lakukan solat asar di Masjid Negeri, Kota Kinabalu. – Ihsan Pembaca