PPM Sandakan patahkan cubaan seludup keluar migran, barangan

Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

SANDAKAN, 9 Feb – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 10 orang dan barangan ke negara jiran malam tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata ketika ditahan, suspek seorang lelaki berumur 49 tahun yang merupakan juragan warga asing sebuah kapal nelayan yang membawa migran dan barangan itu, mengaku tidak mempunyai kebenaran pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

“Bertindak atas maklumat yang disalurkan oleh Unit Risikan Marin (URM), satu operasi Op Pensura yang dilaksanakan oleh bot ronda RH 55 PPM Sandakan berjaya mengesan sebuah kapal nelayan yang menghala ke arah laut lepas di perairan Pulau Berhala pada jam lebih kurang 10.40 malam tadi.

“Hasil pemeriksaan teliti yang dijalankan mendapati terdapat seramai 10 orang penumpang yang berumur antara 22 hingga 58 tahun dan tidak memiliki keterangan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri, turut ditemui 11 tong gas LPG Petronas dan dua lagi jenama MyGaz, serta 12 gelen minyak petrol dipercayai untuk dibawa ke negara jiran disyaki untuk pasaran di sana.

Beliau berkata penumpang terbabit turut mengaku ingin ke Pulau Tabawan, Filipina tanpa melalui jalan yang diwartakan.

“Turut dirampas ialah sebuah kapal nelayan berserta enjin. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM96,200,” katanya.

Tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26 (J) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010) atas kesalahan membawa migran yang diseludup dan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi barangan yang cuba diseludup keluar, kes disiasat di bawah Akta Kawalan dan Bekalan 1961, yang boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes itu turut disiasat di bawah Peraturan-peraturan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) kerana membawa penumpang dan barangan tanpa lesen.

— BERNAMA

Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah
209