ATM tahan tiga lelaki bunuh penyu di Semporna

TIGA suspek warga asing ditahanĀ Pasukan Atur Gerak Cepat (QRF) selepas disyaki menangkap dan membunuh penyu di kawasan perairan Pulau Ligitan, di Semporna. – Foto ihsan Angkatan Tugas Bersama 2

SEMPORNA, 6 Feb – Angkatan Tentera Malaysia menerusi Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menahan tiga lelaki warga asing kerana menangkap dan membunuh penyu di perairan Pulau Ligitan dekat sini, awal pagiĀ ini.

Hasil maklumat risikan, Komander ATB 2, Brig Jen Datuk Zarondin Md Amin berkata satu Pasukan Atur Gerak Cepat (QRF) dari 18 RAMD diketuai Kapten Mohd Azuan Arif Mohd Nizam digerakkan ke lokasi kejadian dan mengesan bot mencurigakan sebelum menahan suspek berumur antara 25 hingga 45 tahun pukul 4.30 pagi.

“Pemeriksaan awal turut menemukan kesemua suspek bersama enam cengkerang penyu yang telah dipotong-potong,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zarondin berkata kesemua suspek yang tiada pengenalan diri itu turut ditahan atas faktor melanggar perintah berkurung yang ditetapkan di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah antara pukul 6.00 petang hingga 6.00 pagi.

Katanya, kesemua suspek serta barang rampasan diserahkan ke Markas Polis Marin Semporna untuk tindakan lanjut.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *