Rakyat Sabah Perlu Bekerjasama Capai Kejayaan, Kemakmuran Lebih Cemerlang

GONG XI FA CAI … Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar Ehsan JKM

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu bekerjasama walaupun terpaksa berdepan cabaran hebat atau kegagalan di sepanjang jalan dalam usaha mencapai kekayaan dan kemakmuran lebih cemerlang.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata melihat kepada kekayaan dimiliki kaum Cina atau mana-mana komuniti lain sekarang bukan disebabkan secara kebetulan, sebaliknya melalui titik peluh dan kerja keras.

“Di Sabah, kita mesti menetapkan sasaran tinggi dan memiliki minda yang betul serta perancangan untuk mencapainya.

“Saya menggesa semua rakyat Malaysia di Sabah bersama-sama saya dan kerajaan negeri berusaha tanpa henti bagi mencapai kejayaan lebih cemerlang untuk negeri kesayangan kita, Sabah,” katanya dalam perutusan sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2019.

Beliau berkata kerajaan baharu pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) bangga untuk bersama meraikan perayaan Tahun Baharu Cina kerana ia akan menjadikan warisan sejarah negeri ini lebih kaya dan mengukuhkan ikatan persaudaraan, sekali gus memberi gambaran kepada keamanan dan keharmonian masyarakat Sabah.

Mohd Shafie juga berharap Sabah terus dilimpahi kekayaan dan menjadikannya antara negeri paling progresif di Malaysia.

Beliau berkata sempena perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini, beliau mengajak setiap rakyat untuk bersama meraikannya dengan menjadikan ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’ sebagai amalan untuk menyampaikan hasrat lebih baik daripada ungkapan itu.

“Saya memahami maksudnya mengucapkan tahniah antara satu sama lain atas kekayaan dimiliki, namun sebenarnya makna daripada ucapan itu lebih luas,” kata Mohd Shafie.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *