Usahawan muda perlu bijak mempromosi perniagaan dalam talian

Gambar Facebook Pages PKR Inanam Task Force

KOTA KINABALU, 2 Jan – Usahawan muda di Sabah perlu mempelbagai usaha untuk mempromosi produk perniagaan masing-masing dalam pelbagai platform. termasuk secara dalam talian.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Kenny Chua berkata perniagaan yang dijalankan dalam talian dilihat mampu menjana pendapatan yang menguntungkan kerana mempunyai ramai pelanggan.

“Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam perniagaan walaupun mungkin akan gagal namun  perlu berusaha,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kinabalu Entrepreneur 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini, di sini.

Chua yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam berkata selain dapat menjimatkan kos dari segi penyewaan, perniagaan dalam talian juga mampu menembusi pasaran ke Semenajung dan luar negara.

Beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan kepada usahawan tempatan melalui kementerian yang berkaitan bagi merancakkan lagi ekonomi di negeri ini.

“Pelbagai dana disediakan bagi membantu usahawan muda, namun ia bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *