KPDNHEP Semporna rampas 16,400 liter minyak petrol di Kampung Tampi-Tampi

Gambar Facebook BES TAWAUfm

SEMPORNA, 2 Feb – Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna merampas 16,400 liter minyak petrol serta 26 tong gas memasak dalam satu serbuan di Jeti Persendirian Kampung Tampi-Tampi Timbayan di sini, Khamis lepas.

Ketua Cawangan KPDNHEP Semporna, Lauhi Mandor Bakar berkata rampasan pada kira-kira pukul 6.30 petang itu dilakukan hasil risikan pihaknya ke atas sebuah lori tangki yang dilihat mencurigakan semasa memindahkan minyak ke sebuah kapal kargo di kampung itu.

“Siasatan mendapati tiada sebarang lesen atau dokumen berkaitan pemilikan minyak itu bagi tujuan perdagangan. Petrol itu didapati milik sebuah syarikat di Kota Kinabalu berdasarkan penemuan invois pembelian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Susulan itu, Lauhi berkata kapal kargo, lori tangki, minyak petrol serta tong gas bernilai RM137,152 itu disita dan dirampas.

“Kapal kargo dan lori tangki disita dan disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusniaga barang kawalan tanpa lesen yang sah dan memiliki barang kawalan dengan syak yang munasabah melakukan kesalahan di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

— BERNAMA

Gambar Facebook BES TAWAUfm
Gambar Facebook BES TAWAUfm
Gambar Facebook BES TAWAUfm
Gambar Facebook BES TAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *