Permohonan BSH 2019 dibuka bermula semalam

PUTRAJAYA: Bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 masing-masing bagi fasa kedua dan ketiga dijadual diagihkan pada Mei dan Ogos depan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, bayaran fasa pertama BSH 2019 sudah dilaksanakan pada 28 Januari lalu dan memanfaatkan empat juta isi rumah dengan bayaran RM300 bagi setiap isi rumah membabitkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

“Untuk menerima bayaran BSH 2019 selanjutnya, pemohon yang layak perlu mendaftar dan mengemaskini maklumat isi rumah.

“Secara amnya, isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan layak untuk menerima BSH.

“Tempoh pendaftaran BSH 2019 dibuka mulai semalam hingga 15 Mac ini. Pemohon yang layak dialu-alukan untuk membuat permohonan melalui beberapa kaedah iaitu dengan pengisian borang (offline) yang boleh didapati secara percuma di mana-mana Cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) atau Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM selain memuat turun borang permohonan di portal rasmi BSH https://bsh.hasil.gov.my.

“Selain itu, permohonan juga boleh dibuat secara dalam talian di Portal Rasmi BSH, https://bsh.hasil.gov.my,” katanya hari ini.

Katanya, selain kaedah itu kerajaan juga akan mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kemudahan pendaftaran setempat, terutama untuk membantu pendaftaran isi rumah dari kawasan pedalaman yang terpencil serta golongan tertentu seperti yang terlantar.

“Kementerian Kewangan akan mewujudkan jalinan usahasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri yang pernah menjalankan kerja pendaftaran sebelum ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, proses pendaftaran dan pengemaskinian maklumat isi rumah dilaksanakan bagi memastikan hanya isi rumah yang layak menerima BSH.

“Langkah itu penting bagi memastikan sumber negara digunakan dengan berhemah serta bersasaran kepada golongan B40 dan mengelakkan ketirisan bantuan kepada golongan yang berada.

“Pendekatan BSH adalah selaras dengan keprihatinan kerajaan untuk menyasarkan bantuan hanya kepada golongan yang layak menerimanya, iaitu golongan yang amat perlukan bantuan bagi menghadapi kos sara hidup,” katanya.

Selain itu, katanya kadar inflasi pada tahun lalu adalah hanya pada tahap satu peratus berbanding dengan 3.7 peratus untuk tahun 2017.

“Kadar inflasi 2018 adalah tahap terendah dalam tempoh sembilan tahun, menunjukkan bahawa langkah Kerajaan menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkesan dalam menyederhanakan kenaikan harga.

“Seterusnya, Kerajaan akan terus berusaha untuk mengurus perkara ini melalui langkah seperti BSH, serta mengadakan kajian khas ke atas struktur kos yang menyebabkan kenaikan harga setengah barangan keperluan naik lebih tinggi daripada kadar inflasi rasmi.

“Usaha ini dilakukan demi membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup serta memastikan kenaikan harga barang keperluan terkawal,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *