Suspek tetak warga Australia dikenal pasti

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail. – Foto Recqueal Raimi

TUARAN: Suspek yang diburu selepas menetak seorang warga Australia sehingga menyebabkan kecederaan parah berhampiran Kampung Kiwoi Tamparuli, di sini, pada 24 Januari lalu, sudah dikenal pasti.

Ia susulan tindakan polis mendedahkan identiti dan gambar suspek pada 26 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata berdasarkan risikan pasukan polis dan maklumat orang awam, suspek dipercayai masih berada di negeri ini.

Katanya, lokasi suspek tidak didedahkan bagi mengelakkan siasatan diganggu selain dalam keadaan berjaga-jaga.

Beliau berkata, operasi mengesan suspek dan penggunaan pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) di kawasan hutan berhampiran lokasi kejadian juga dihentikan.

“Namun, siasatan lanjut melalui risikan masih diteruskan dan pihak polis sudah mengenal pasti suspek yang dipercayai menetak warga Australia terbabit.

“Hanya ini yang kita dapat maklumkan setakat ini dan selebihnya akan dimaklumkan sebaik suspek berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada 26 Januari lalu, polis mendedahkan identiti suspek yang juga warga Filipina dan tiada dokumen pengenalan diri dikenali sebagai Roy berusia lingkungan 30-an.

Difahamkan, mangsa, Daniel Boardhurst, 46, masih menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu dengan ditemani isterinya yang juga penduduk tempatan.

Pada 24 Januari lalu, berlaku perselisihan faham di antara suspek dan mangsa menyebabkan suspek berang lalu bertindak mengejar mangsa menggunakan pedang samurai.

Mangsa cuba melarikan diri untuk meminta pertolongan namun kawasan sunyi yang dikelilingi hutan menyebabkan dia gagal mendapatkan pertolongan sebelum ditetak di kedua-dua lengan dan belakang kepala. -Berita Harian

248