Kuat jodoh

Taipei: Seorang wanita yang nyawanya diselamatkan melalui pemindahan darah selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya kira-kira 11 tahun lalu terkejut apabila mendapati penderma darah itu adalah teman lelakinya.

Lin Xiaofen memerlukan rawatan segera selepas kereta yang dinaikinya kemalangan dan kejadian itu berlaku sebelum dia bertemu teman lelakinya, Lian Zhicheng.

Huanqui Online melaporkan, Lin yang berada dalam keadaan kritikal akibat kehilangan darah, terus menjalani pemindahan darah daripada penderma.

Lin yang berasal dari Hsinchu, barat laut Taiwan kemudiannya bertemu dengan Lian kira-kira dua tahun lalu dan dia menceritakan mengenai kemalangan yang hampir meragut nyawanya.

Lian memberitahu Lin dia sering menderma darah di hospital di mana wanita itu dirawat.

“Mungkin darah saya yang kamu gunakan,” kata Lian.

Lin teruja dengan kata-kata Lian itu segera menyiasat dan berhubung dengan pihak hospital berkenaan.

Dalam satu temu bual yang disiarkan sebuah stesen televisyen di Taiwan, Lin mendedahkan dia terkejut apabila mendapati kekasihnya itu adalah antara penderma darah yang diterimanya.

“Apabila pihak hospital memberitahu antara penderma darah berkenaan adalah Encik Lian dari Hsinchu, saya sangat terkejut,” katanya.

Lian memberitahu, dia seperti mempunyai kaitan dengan Lin dan boleh merasakan apabila sesuatu berlaku pada kekasihnya itu.

“Anda semua perlu menderma darah kerana anda mungkin akan menyelamatkan bakal isteri atau suami anda,” katanya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *