ADUN Tempasuk masuk WARISAN

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Musbah Jamli

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Musbah Jamli, yang keluar daripada UMNO 12 Disember lalu, mengumumkan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN), hari ini.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud itu menyerahkan borang menyertai WARISAN kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Presiden WARISAN di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini.

Mohd Shafie dalam ucapannya berkata, keputusan Musbah menyertai WARISAN bukan saja dapat meneruskan pembangunan di kawasan diwakilinya tetapi juga menstabilkan politik di negeri ini, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur luar.

“Kita di sini bukan kerana kita atau parti tapi sokongan rakyat. Bagaimana kalau rakyat tidak sokong? Oleh itu, apa yang penting adalah suara rakyat.

“Dalam pilihan raya lalu, kita menerima suara rakyat yang memutuskan kerajaan. Suara rakyat tidak boleh dipandang ringan, oleh itu, pembangunan dan kemajuan perlu diteruskan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Mohd Shafie berkata beliau amat gembira kerana kenyataannya sebelum ini yang mempelawa ADUN bebas supaya bekerjasama membangunkan Sabah diterima Musbah.

“Walaupun tiada imbuhan atau pangkat, beliau (Musbah) menerima WARISAN sebagai wadah untuk perjuangan politik dalam membangunkan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Musbah berkata tindakannya menyertai WARISAN diambil selepas mengambil kira kepentingan rakyat terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.

Katanya, beliau percaya Presiden WARISAN itu, yang berjaya membentuk kerajaan, mampu meneruskan kesinambungan pembangunan yang sudah dirancang di Sabah.

“Sebelum ini, kita (bekas ahli UMNO) berhasrat untuk sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), namun saya fikirkan kalau pilih parti Semenanjung sama juga dengan UMNO dulu.

“Lebih baik pilih parti tempatan sebagai wadah untuk meneruskan perjuangan hak rakyat dan pembangunan Sabah,” katanya sambil menambah sudah berbincang dengan akar umbi dan percaya ribuan penyokong akan mengikut jejaknya menyertai WARISAN.

Pada 12 Disember lalu, lima ahli Parlimen, sembilan ADUN, 21 ketua bahagian dan dua senator UMNO Sabah mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Antara yang terbabit dalam pengumuman itu ialah, Ahli Parlimen, Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

Dalam kalangan ADUN pula, selain Pengerusi Perhubungan Umno Negeri yang juga ADUN Sulaman, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan Musbah, ADUN lain ialah Datuk Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas). – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *