Sabah bakal laksana kurikulum pendidikan berasaskan perindustrian

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob

KOTA KINABALU, 22 Jan – Sabah bakal melaksanakan kurikulum pendidikan berasaskan perindustrian di peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di negeri ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata ini adalah selaras dengan wawasan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mahu menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri perindustrian.

Katanya untuk itu, semua jabatan berkaitan pendidikan di Sabah akan digerakkan dengan segera agar dapat berganding bahu dalam pelaksanaan perancangan ke arah usaha tersebut.

“Pada masa sama, semua kolej negeri dan swasta serta institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di Sabah diminta menyemak semula semua kurikulum mereka pada tahun ini dengan memberi penekanan kepada aspek kemahiran keusahawanan di kalangan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, susulan lawatan rasmi kementeriannya ke Singapura baru-baru ini.

Yusof berkata rangka lawatan kerja itu adalah lawatan balas terhadap kunjungan rasmi Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean ke Sabah pada tahun lepas.

Katanya ia bertujuan meneroka model pendidikan di Singapura pada peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, dan institusi pendidikan tinggi.

Menurutnya hasil kunjungan rasmi ini juga telah membuka ruang kepada pemeteraian satu memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan Singapura yang dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“MoU tersebut antara lain adalah usaha ke arah kerjasama dalam beberapa bidang yang dikenal pasti, antaranya pertukaran staf dan pelajar, pengajaran kursus-kursus bercirikan inovatif dan penyelidikan bersama bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Dalam rangka lawatan tersebut, rombongan delegasi mengadakan kunjungan ke beberapa sekolah rendah dan menengah, institusi pendidikan tinggi dan agensi di Singapura antaranya Institute of Technical Education (ITE), National University of Singapore (NUS), Kementerian Pendidikan Singapura dan kunjungan hormat terhadap Menteri Pendidikan Singapura, Ong Ye Kung.

Lawatan yang diketuai Yusof itu turut disertai Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Jennifer Lasimbang dan Naib Cancelor Universiti Malaysia Sabah Datuk Dr D Kamarudin D Mudin.

— BERNAMA

406