‘Tong ais merah penyambung nyawa’

Jaket keselamatan dan tong ais yang menyelamatkan Fuu Hyung sepanjang terapung di laut. – Ihsan APP

KUDAT: “Saya pakai jaket keselamatan dan mengikat tong ais berwarna merah bersama supaya mudah dilihat untuk diselamatkan,” kata Liew Fuu Hyung, 49, nelayan yang terselamat selepas bot yang dinaikinya karam di perairan Pulau Kalampunian, Selasa lalu.

Menurut Fuu Hyung, dia terapung di laut selama 24 jam sebelum diselamatkan oleh empat nelayan semalam yang kebetulan berada tidak jauh dari tempatnya hanyut.

“Saya keluar memukat pada jam 9.15 pagi Selasa dan ketika kejadian saya dalam perjalanan ke Pulau Balambangan. Bagaimanapun pada jam 10.30 pagi, bot pecah dipukul ombak dan air mulai masuk ke dalam bot.

“Sebelum bot karam, saya sempat merakam gambar dan hantar pada rakan untuk mendapatkan bantuan daripada pihak Maritim Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fuu Hyung berkata, pasukan penyelamat sukar mengesan kedudukannya kerana sudah hanyut jauh dari kedudukan asal botnya karam.

“Saya ada nampak bot pasukan keselamatan dari jauh dan cuba melambai ke arah mereka namun tidak berhasil. Saya pula hanyut semakin jauh sehingga keesokan harinya sebelum diselamatkan sebuah bot nelayan,” katanya.

Tambah Fuu Hyung, jaket keselamatan dan tong ais yang menyelamatkan nyawanya sepanjang terapung di laut.

“Saya memang ada jaket keselamatan dan saya gunakannya ketika berada di laut. Ketika itu, saya hanya bertahan tanpa makan dan minum, apa yang penting jangan panik ketika berada di tengah laut.

“Saya bersyukur, nelayan yang selamatkan saya ternampak tong ikan merah sebelum menghampiri dan menyelamatkan saya,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kudat selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 4.30 petang semalam. – Berita Harian

285