Banjir: SK Sualok di Beluran masih ditutup

Keadaan banjir di hadapan bangunan Sekolah Kebangsaan Sualok, Beluran. foto Bernama

SANDAKAN, 17 Jan – Sekolah Kebangsaan (SK) Sualok di Beluran, kira-kira 120 km dari sini, masih ditutup berikutan hujan sejak Selasa (15 Jan) lepas.

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin berkata sekolah itu antara tiga sekolah yang ditutup semalam termasuk SK Basai dan SK Botiton.

“Bagaimanapun, SK Basai dan SK Botiton dibuka semula hari ini.

“Hanya SK Sualok masih belum boleh beroperasi seperti biasa kerana keadaan sekitar sekolah masih terdapat air yang bertakung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mistirine berkata jumlah murid dan guru yang terjejas di SK Sualok ialah 197 murid dan 14 guru.

Beliau juga berkata, SK Pamol pula, yang melibatkan 283 murid dan 22 guru, turut terjejas dengan kawasan sekolah dinaiki air, namun sesi pengajaran dan pembelajaran dipindah dan dijalankan di dewan sekolah berkenaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *