Suspek jadikan budak tebusan disyaki PATI

Kota Kinabalu : Penjenayah yang ditembak mati polis selepas menjadikan kanak-kanak perempuan sebagai tebusan di pangsapuri di Taman Telipok Ria, Kota Kinabalu, Ahad lalu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sehingga kini identiti lelaki berkenaan masih belum dikenal pasti susulan tiada dokumen pengenalan diri ditemui padanya.

“Saya dimaklumkan suspek adalah PATI, namun perkara itu masih belum dapat disahkan dan kita masih menjalankan siasatan serta mengesan warisnya.

“Kita turut menguar-uarkan kepada umum tentang perkara ini dan berharap keluarga atau mereka yang mengenali suspek tampil untuk membantu siasatan dan mengenal pasti identitinya,” katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, buat masa ini masih belum ada mana-mana pihak tampil bagi membantu siasatan polis.

Dalam kejadian 12 tengah hari, Ahad lalu, suspek dianggarkan berusia 30-an melarikan mangsa berusia dua tahun ke rumah di tingkat empat.

Suspek kemudian ditembak mati 5.35 petang ketika mengacah-acah untuk mencampakkan kanak-kanak terbabit dari bahagian dapur rumah terbabit.

Sehingga kini, polis masih menjalankan siasatan berhubung motif sebenar kejadian itu. – Harian Metro

236