Polis cari ‘Rashid’

OMAR Mammah (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. – NSTP/Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti lelaki yang ditembak mati selepas menjadikan budak perempuan dua tahun sebagai tebusan semalam, berdasarkan telefon bimbit di lokasi kejadian, dipercayai milik suspek.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah, berkata sebaik suspek ditembak mati, polis menjalankan pemeriksaan dan menemui sebuah telefon bimbit pada badan suspek dan kini sedang menyiasat senarai panggilan dalam telefon bimbit terbabit.

“Polis juga mengambil cap jari suspek dan dihantar Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengesan sama ada suspek memiliki dokumen sah,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Omar berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan tiada seorang pun penghuni di taman perumahan itu mengenali suspek terbabit.

Beliau juga mengesahkan kanak-kanak terbabit yang kini dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas berada dalam keadaan stabil.

Ditanya mengenai kejayaan polis menembak mati suspek sehingga menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang dijadikan tebusan, Omar berkata, anggota polis itu adalah daripada pasukan yang terlatih.

“Mereka adalah anggota terlatih dan khas untuk respon awal sekiranya berlaku kejadian seperti semalam,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, petang tadi, Omar berkata, ketika rundingan polis dengan suspek menggunakan bahasa Suluk, suspek ada menyebut nama ‘Rashid’ namun sehingga kini pihaknya belum dapat mengenal pasti siapa individu dimaksudkan dan kaitannya dengan kes berkenaan.

Katanya, siasatan di lokasi mendapati, penduduk tidak mengenali suspek atau individu bernama Rashid dan beliau juga menafikan khabar angin menyatakan suspek ada hubungan dengan ibu bapa mangsa.

Omar turut menafikan khabar angin kononnya kecederaan pada leher mangsa adalah disebabkan tembakan sebaliknya mengesahkan luka pada mangsa adalah disebabkan pisau yang dibawa suspek.

Dalam kejadian semalam, suspek lelaki berusia 30-an melarikan mangsa yang sedang bermain di tingkat empat berhampiran rumahnya mangsa lalu menjadikan kanak-kanak itu sebagai tebusan di sebuah rumah di aras sama.

Selepas beberapa jam berunding, suspek enggan menyerahkan mangsa dan beberapa kali mengacah-acah untuk mencampakkan kanak-kanak itu dari bahagian dapur rumah di tingkat empat berkenaan sebelum ditembak mati oleh anggota polis.

Mangsa yang cedera pada leher kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan. – Berita Harian

411