Sabah alami cuaca panas, kurang hujan

PENGARAH Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud.

KOTA KINABALU: Sabah kini mengalami cuaca panas dan kekurangan hujan yang dikaitkan dengan fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga Mac atau Mei ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud, berkata ia berdasarkan tinjauan model iklim antarabangsa yang menjangka kebarangkalian 90 peratus fenomena El-Nino berlaku di Sabah sehingga Mac ini dan 60 peratus menunjukkan ia mungkin berlarutan sehingga Mei.

“Namun begitu, untuk tempoh monsun timur laut sekarang, masih boleh berlaku hujan dalam tempoh tertentu terutama di bahagian timur dan pantai barat Sabah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azemi berkata, jangkaan hujan bulanan antara Januari hingga Mac ini di semua bahagian serta daerah di Sabah diramalkan berkurangan antara 20 hingga 40 peratus.

“Bagi bulan ini, kebanyakan bahagian di Sabah dijangka menerima jumlah hujan sedikit iaitu di bawah paras purata bulanan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai mengurangkan aktiviti luar yang menyebabkan mereka terdedah kepada cuaca panas.

“Kita juga meminta orang ramai mengelak pembaziran air dan pembakaran terbuka bagi mengelak krisis air dan kebakaran hutan. Bagi menjaga kesihatan, orang ramai perlu kurangkan terdedah kepada cuaca panas di luar,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *