Jabatan Pendidikan Negeri Sabah garis 24 bidang perlu capai KPI tahun ini

Pengarah JPNS Sabah Mistirine Radin

KOTA KINABALU, 9 Jan – Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) meletakkan 24 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bidang yang perlu dicapai sepanjang tahun ini.

Pengarah JPNS Sabah Mistirine Radin berkata KPI itu merangkumi bidang ikhtisas dan pengurusan pentadbiran.

“Bagi mencapai KPI itu, JPNS akan menjalankan pemantauan dan melaksanakan intervensi selain memastikan proses pengajaran dan pembelajaran(PdP) berjalan lancar.

Kita juga akan kerap berada di luar untuk menjalankan pemantauan di setiap sekolah di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bicara Profesionalisme Pengarah Baharu JPNS di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini hari ini.

Beliau berkata antara sasaran KPI itu termasuk meningkatkan pelajar yang layak mendapat sijil dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Selain itu, JPNS juga akan berusaha untuk meningkatkan peratus murid mencapai tahap minimum Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada 53.61 peratus pada tahun lalu kepada 58 peratus pada tahun ini.

Mistirine berkata di bawah Program Transformasi Daerah (PTD) iaitu kehadiran murid dalam sesi pembelajaran juga akan ditingkatkan daripada 92.37 peratus pada tahun lepas kepada 93 peratus tahun ini, katanya.

Beliau berkata KPI itu juga mensasarkan sebanyak 70 peratus peningkatan sekolah yang mencapai standard keperluan asas minimum infrastruktur fizikal di setiap sekolah melibatkan 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Katanya, ia bagi mengurangkan masalah sekolah daif yang masih terdapat di negeri ini yang perlu dinaik taraf dan dibaik pulih.

“JPNS juga menyasarkan sebanyak 48 buah sekolah akan mendapat penarafan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT),” katanya.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *