Cubaan lima individu menyusup, seludup keluar barang kawalan gagal

Foto Ihsan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

TAWAU, 9 Jan – Usaha seorang juragan menyusup keluar bersama empat individu ke Filipina serta menyeludup 17 tong gas memasak dan 60 tong jerikin berisi minyak petrol, gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kinabutan di sini, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Romli Mustafa berkata pihaknya yang menjalankan rondaan di sekitar kawasan tanggungjawab mengesan sebuah bot pam mencurigakan sebelum ditahan pada pukul 8.45 malam.

“Pemeriksaan mendapati juragan membawa empat penumpang yang juga sepasang suami isteri bersama dua anak perempuan dipercayai menuju keluar ke Filipina menggunakan laluan tidak sah.

“Kesemua mereka yang ditahan berumur antara dua hingga 35 tahun itu memiliki dokumen diri (pasport) yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Romli berkata juragan tersebut turut gagal menunjukkan dokumen sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa tong gas memasak serta minyak petrol, sekali gus dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Dalam pada itu, katanya APMM akan terus meningkatkan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan.

“Malahan langkah berterusan itu bagi memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat serta terkawal,” katanya lagi.

Romli berkata orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan dan maklumat ke talian hotline Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau hubungi bantuan kecemasan, MERS 999.

— BERNAMA

Foto Ihsan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
Foto Ihsan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
Foto Ihsan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *