Patut lah pegang seluar, seret kaki…

“SAYA sebak, dalam ramai orang susah yang sudah saya jumpa, dia sangat istimewa kerana mempunyai azam begitu tinggi dan datang sekolah biarpun dalam keadaan serba daif.

Gambar murid terbabit memakai seluar besar dan kasut longgar milik abangnya untuk ke sekolah – foto facebook

“Insya-Allah, saya rancang ambil dia sebagai anak angkat dan bantu sedaya mana yang termampu supaya dia dapat meneruskan persekolahan seperti murid lain,” kata Mohd Nasir Mohd Zain.

Guru Pendidikan Islam sekolah rendah di Sungai Petani, Kedah itu tular sejak kelmarin selepas berkongsi kisah kekentalan seorang murid miskin sanggup datang ke sekolah dengan memakai pakaian dan kasut milik abangnya yang saiznya tidak padan dengan fizikalnya.

Mohd Nasir berkata, bukanlah niatnya mahu menagih pujian dengan memuat naik perkongsian dia membantu membeli kelengkapan sekolah murid tahun tiga itu, namun hantaran di Facebook (FB) miliknya itu bertujuan memberi inspirasi kepada masyarakat terutama anak muridnya.

“Air mata saya hampir menitik melihat dia sanggup seret kakinya di lantai supaya kasut dia yang saiznya jauh lebih besar daripada kakinya tidak tertanggal manakala tangannya sentiasa memegang seluar bagi mengelak terlondeh.

“Saya fikir kalau terjadi kepada anak saya atau murid lain, pasti malu dan tak mahu pergi sekolah.

“Jadi saya tak kisah apa pun orang hendak kata kerana niat saya berkongsi kisah ini supaya ia dijadikan inspirasi kepada orang lain terutama murid lain supaya tidak menjadikan kemiskinan satu halangan untuk datang ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, hasil semakan dan maklumat diterimanya mendapati kanak-kanak yang mempunyai empat adik-beradik itu datang daripada keluarga miskin.

“Saya fikir sekarang dia belajar di tahun tiga mungkin belum tahu apa itu perasaan malu.

“Bayangkan kelak bila dia naik ke tahun empat, lima atau enam, tidak mustahil dia akan rasa malu dan jika tidak pergi sekolah sudah pasti masa depan dia akan gelap.

“Jadi, jika ada sokongan moral macam ini saya rasa sekurang-kurangnya boleh menaikkan semangatnya untuk maju dalam pelajarannya,” katanya.

Katanya, dia merasa puas melihat riak wajah murid berkenaan selepas menerima kelengkapan sekolah serba baru yang dibeli di Kepala Batas, Pulau Pinang, pagi Khamis lalu.

“Menjadi satu kepuasan kepada diri saya bila melihat ekspresi muka kanak-kanak itu yang sangat gembira seolah-olah apa yang diidamkan selama ini tercapai,” katanya. – Harian Metro

Mohd Nasir membeli pakaian baru kepada murid terbabit.
Mohd Nasir membeli pakaian baru kepada murid terbabit.
Mohd Nasir membeli pakaian baru kepada murid terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *