‘Penyamun’ tiga sekawan

Anggota polis membawa keluar suspek berumur antara 18 hingga 32 tahun keluar dari tahanan sementara mahkamah selepas mengaku bersalah atas tuduhan meragut pada Disember lalu. – FOTO Ihsam PDRM

KOTA KINABALU : Tiga sekawan bakal meringkuk di dalam penjara selepas mengaku bersalah memiliki dan melupuskan barang curi di Mahkamah Majistret di Kota Kinabalu hari ini, dalam kejadian bulan lalu.

Tiga tertuduh, Adhlisyam Sahar, 32, Azmerdeen Sahifuddin, 27, dan Mohd Norbadri Muhari, 18, masing-masing dikenakan hukuman penjara selama 18 bulan, 22 bulan dan 40 bulan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aizat Abd Rahim.

Dua daripada mereka, Adhlisyam dan Mohd Norbadri dituduh mengikut Sekyen 411 Kanun Keseksaan iaitu menyimpan harta curi iaitu masing-masing sebuah telefon bimbit jenama Oppo dan dua cincin berwarna keemasan.

Sementara itu Mohd Norbadri sekali lagi dituduh mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupus barang curi, bersama seorang lagi rakan mereka, Azmerdeen, iaitu cincin emas di sebuah kedai pajak gadai di Telipok.

Menurut fakta kes, pengadu seorang wanita berusia 59 tahun bersama anak perempuannya berusia 22 tahun berada berhampiran kereta mereka di Tuaran, dekat sini, tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali dari arah belakang dan bertindak meragut beg tangannya, pada 15 Disember lalu.

Di dalam beg tangan itu mengandungi Mykad, kad ATM, kad kredit, tiga cincin emas, satu telefon bimbit jenama Oppo dan wang tunai sebanyak RM1,100.

Bagi kesalahan mengikut Sekyen 411 Kanun Keseksaan, Aizat turut memerintahkan Adhlisyam dan Mohd Norbadri masing-masing membayar denda RM1,500, gagal bayar penjara selama sebulan, manakala bagi pertuduhan mengikut Seksyen 414, Mohd Norbadri bersama Azmerdeen turut didenda sebanyak RM2,000, gagal bayar penjara dua bulan.

Aizat turut memerintahkan hukuman bagi Mohd Norbadri dijalankan secara berasingan bagi kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Papilus Pius. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *