Culik: Tiada panggilan baharu

KOTA KINABALU : Tiada panggilan terbaharu diterima ahli keluarga dan pasukan keselamatan daripada kumpulan penculik yang melarikan tiga nelayan di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, awal bulan ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, panggilan pertama dan terakhir adalah pada 6 Disember lalu daripada seorang daripada mangsa kepada isterinya bagi memaklumkan dia diculik.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu perkembangan selain meneruskan siasatan berkaitan kes ini,” katanya selepas menyempurnakan Hari Keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah 2018, di Kota Kinabalu, hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Datin Diana Lee Dennis @ Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

Pada 6 Disember lalu, Heri Ardiansyah, 19; Jari Abdullah, 34, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang selepas bot nelayan mereka ditemui di perairan berkenaan.

Sehari sebelum itu, berlaku serangan oleh empat lelaki bersenjata api ke atas bot tunda membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 warga Indonesia di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan.

Tekong, Didy Saviady, 40, cedera di paha akibat terkena tembakan dilepaskan kumpulan terbabit manakala semua kru selamat. – Harian Metro

89