Wanita maut dibaham buaya

LAHAD DATU – Wanita warga Indonesia maut akibat diserang buaya di Ladang Felda Sahabat 25, dekat Lahad Datu, semalam.

Keadaan mangsa selepas digigit buaya sebelum dihantar ke Klinik berhampiran – Foto Ihsan Pembaca

Dalam kejadian pada 12.45 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Marselina Oematan, 31, meninggal dunia akibat parah di lengan kanan dan paha kiri, manakala kaki kanan hampir putus dipercayai akibat dibaham buaya.

Difahamkan, buruh ladang itu hendak membuang air besar di tebing sungai sebelum tiba-tiba disambar buaya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata, selepas diserang, wanita itu sempat menjerit meminta tolong.

“Rakan-rakannya yang terdengar jeritan segera memberikan bantuan dan menyerang buaya itu dengan sabit.

“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dan dibawa naik ke darat.

“Wanita itu kemudianya dikejarkan ke Klinik Desa Kencana, Felda Sahabat, namun tidak sempat diselamatkan,” katanya ketika dihubungi di Lahad Datu, hari ini.

Nasri berkata, kes berkenaan dikalsifikasikan sebagai mati mengejut.

Gambar mangsa selepas diserang buaya turut tular di laman sosial.

Ia memaparkan wanita itu dibaringkan di kerusi pondok dan kelihatan kaki mangsa sebelah kanan yang hampir putus menjadi tular sejak semalam. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *