Tiada tanda berlaku kekurangan bahan api di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Bekalan bahan api di stesen minyak sekitar bandar raya ini mencukupi dan dijamin beroperasi setiap hari.

Tinjauan di beberapa stesen minyak menunjukkan tidak berlaku penutupan operasi atau stesen minyak tidak menjual bahan api menjelang tahun baharu ini.

Penyelia sebuah stesen minyak di sini, Rosli Ngelambai berkata stesen minyak akan menjalankan perniagaannya seperti biasa.

“Tiada sebarang notis atau pemberitahuan bahawa ia akan ditutup pada bila-bila masa termasuk 1 Januari ini.

“Setakat ini, saya tidak nampak ‘trend’ orang ramai tergesa-gesa membeli atau mengisi minyak kereta mereka,” katanya.

Pada 25 Disember lalu, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (BUMIPEDA) mengeluarkan kenyataan bahawa bekalan minyak dijangka akan ‘kering’ berikutan keputusan kerajaan mengapungkan semula harga minyak secara mingguan bermula 1 Januari.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada hari sebelumnya berkata, keputusan mengapungkan semula harga minyak secara mingguan adalah disebabkan kejatuhan harga minyak mentah dunia dan menyebabkan harga bahan api lebih rendah termasuk Petrol RON95.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah dalam kenyataannya berkata, pegawainya menjalankan pemeriksaan di 10 stesen minyak di Kota Kinabalu, Kimanis dan Bongawan, Papar, semalam.

“Hasil pemeriksaan di stesen minyak dan semakan terhadap buku stok harian bekalan bahan api mendapati pengusaha stesen minyak sudah mengemas kini rekod belian dan jualan petrol serta diesel masing-masing.

“Bekalan petrol dan diesel mencukupi manakala aktiviti jualan bahan api itu berjalan seperti biasa,” katanya.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas, sebelum ini memaklumkan kira-kira 1.23 juta liter diesel dan 1.68 juta liter petrol diedarkan di semua stesen minyak di sekitar bandar raya dan pantai barat negeri ini, setiap hari.

Katanya, notis turut dihantar bagi mengingatkan pengendali stesen minyak supaya tidak menutup stesen atau menghentikan penjualan bahan api itu mengikut Peraturan Akta Kawalan Bekalan 1974.

Pengusaha stesen minyak yang didapati melakukan perkara itu boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama atau RM3 juta bagi kesalahan kedua. – Berita Harian

368