PPM tahan enam lelaki dalam operasi gelora khas di Kudat

KOTA KINABALU, 27 Dis – Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat telah menahan enam lelaki, lima daripadanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri, di dua lokasi berasingan dalam Operasi Gelora Khas di perairan Kudat, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata dalam operasi khas pada pukul 12.10 tengah hari, empat lelaki ditahan dalam operasi di utara Pulau Straggler Kudat manakala dua lagi ditahan di perairan Latoan Kudat.

Dalam operasi di utara Pulau Staraggler Kudat, Mohamad Pajeri berkata, PPM Kudat menahan dan memeriksa sebuah pam bot tidak bernombor yang mencurigakan melalui kawasan tersebut.

“Siasatan awal mendapati seramai empat lelaki berumur 30 hingga 50 tahun berada dalam bot itu dan kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Pemeriksaan lanjut ke atas pam bot tersebut telah menjumpai pelbagai barangan dipercayai untuk menjalankan aktiviti mengebom ikan.

“Nilai tangkapan termasuk sebuah bot dan satu unit enjin pam 13hp dianggarkan berjumlah RM8,090. Kes disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam operasi di perairan Latoan Kudat pula, Mohamad Pajeri berkata, PPM Kudat menahan serta memeriksa sebuah bot nelayan yang melalui kawasan perairan itu, dan siasatan awal mendapati terdapat dua lelaki berada dalam bot berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot nelayan itu telah menemui satu paket hablur lutsinar disyaki dadah jenis syabu di dalam sebuah beg sandang kepunyaan seorang daripada krew bot berumur 27 tahun.

“Suspek itu ditangkap dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi lelaki berumur 22 tahun ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah dan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke pangkalan PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *