Wanita Muslim tidak boleh sertai Unduk Ngadau

KOTA KINABALU, 24 Dis – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah menolak cadangan Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Unduk Ngadau Pesta Kaamatan peringkat negeri  supaya  wanita Muslim di negeri ini dibenarkan menyertai pertandingan ratu cantik pesta berkenaan.

Pengarah YADIM Sabah Samin Ongki berkata Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Sabah serta fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sabah dengan jelas menyebut larangan wanita Muslim di negeri ini menyertai pertandingan ratu cantik itu, dan ia perlu terus dihormati oleh semua pihak.

Justeru, Samin memohon jawatankuasa penganjur Unduk Ngadau menghormati sensitiviti umat Islam dengan tidak meneruskan cadangan tersebut.

“Kita menghormati ia hanya sebagai satu cadangan tetapi tidak dapat mempertimbangkannya, dan saya memohon kepada setiap pegawai daerah di Sabah selaku pengerusi jawatankuasa pesta Kaamatan di peringkat daerah tidak membenarkan penyertaan wanita Muslim dalam pertandingan Unduk Ngadau.

“Ini bagi membantu menguatkuasakan undang-undang dan keputusan terdahulu,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas perkara itu di sini, hari ini.

Semalam, laporan akhbar tempatan di sini melaporkan Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Unduk Ngadau Pesta Kaamatan peringkat negeri akan meneruskan usahanya mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama Islam di Sabah bagi membenarkan peserta Muslim menyertai acara tahunan itu.

Pengerusinya Joanna Kitingan dipetik sebagai berkata adalah penting untuk mengamalkan inklusiviti dalam pertandingan itu kerana acara berkenaan adalah sebahagian daripada cara mempromosi budaya Kadazandusun.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *