Sabah jangka ketibaan 500,000 pelancong Korea Selatan setiap tahun

KOTA KINABALU, 24 Dis – Sabah menjangkakan kedatangan kira-kira 500,000 pelancong dari Korea Selatan pada setiap tahun, berikutan pembukaan laluan udara Muan-Kota Kinabalu, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew.

Katanya, dengan pembukaan laluan dari Muan, Korea Selatan oleh Jeju Air, Sabah akan mengambil peluang ke atas pelancong-pelancong yang terletak di bandar-bandar sekunder di Korea Selatan. 

“Kami berharap untuk meneruskan strategi ini bagi menerima kemasukan berterusan daripada pengunjung Korea Selatan pada tahun-tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pembukaan laluan udara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu malam tadi.

Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, berkata penerbangan sebanyak dua kali seminggu pada Khamis dan Ahad itu bakal menyaksikan kebanjiran pelawat Korea Selatan, sekali gus meningkatkan industri pelancongan di Sabah. 

“Korea Selatan mempunyai jumlah penduduk seramai lebih daripada 50 juta orang. Jika Sabah boleh merebut satu peratus daripada penduduk atau 500,000 pelawat setiap tahun dalam masa terdekat, ini sudah cukup baik untuk kami. 

“Peluang untuk menarik rakyat Korea Selatan menikmati pengalaman di Sabah amat terbuka luas,”” katanya lagi.

Liew berkata, Sabah adalah satu-satunya negeri yang  menerima perkhidmatan daripada Jeju Air dan ia adalah satu keistimewaan kerana Muan merupakan bandar kedua yang disambungkan ke Kota Kinabalu selepas Seoul. 

“Saya telah dimaklumkan menjelang suku kedua 2019, Jeju Air akan memulakan perkhidmatan Busan-Kota Kinabalu. 

“Kami berterima kasih kepada Jeju Air kerana menjadikan laluan ini agak meriah,” katanya. 

Liew menambah, kedatangan pelancong Korea Selatan ke Sabah telah mencecah tahap tertinggi sebanyak 310,802 orang pada 2017, naik 57 peratus, berbanding angka pada tahun sebelumnya.

Pada Oktober 2018, kedatangan pelancong Korea Selatan di Sabah menokok sebanyak 7.5 peratus kepada 267,861 pengunjung, menjadikan mereka sebagai pengunjung antarabangsa ketiga terbesar ke negeri tersebut.

“2019 akan menjadi tahun yang paling menarik bagi sektor pelancongan di negeri ini kerana kami akan menawarkan produk baharu, acara yang menarik dan tempat-tempat istimewa kepada kesemua pelawat kami, khususnya dari Korea Selatan,” katanya.

– BERNAMA

201