Runtuhan lereng bahagian selatan Anak Krakatau punca tsunami

WELLINGTON: Saintis berpendapat runtuhan lereng di bahagian selatan Anak Krakatau ke dalam laut mungkin penyebab bencana tsunami di pantai sekitar Selat Sunda yang mengorbankan ratusan penduduk.

RUNTUHAN besar pada lereng di selatan gunung berapi punca berlaku tsunami. – Foto Reuters

Sekurang-kurangnya 280 penduduk maut, ratusan lagi cedera, manakala puluhan bangunan rosak teruk apabila tsunami berlaku tanpa sebarang amaran di Selat Sunda, iaitu antara pulau Jawa dan Sumatera.

Sekumpulan saintis hari ini, mencapai persetujuan, iaitu berdasarkan imej satelit dan pelbagai maklumat yang diperoleh menunjukkan runtuhan pada sebahagian gunung berapi mencetuskan gelombang tsunami terbabit.

Malah, imej yang berjaya dirakam oleh satelit Sentinel-1, milik Agensi Angkasa Eropah menunjukkan terdapat runtuhan besar pada lereng di selatan gunung berapi itu ke dalam laut.

“Tanah runtuh di dalam laut adalah teori utama. Jadi, apabila tanah itu menggelincir masuk ke dalam laut, ia menyebabkan anjakan pada permukaan laut, seterusnya mengakibatkan tsunami,” kata ahli seismologi di GNS Science yang berpangkalan di Wellington, New Zealand, Sam Taylor-Offord.

Bagaimanapun, katanya, kekurangan data dan akses ke lokasi kejadian, menyukarkan usaha untuk mengesahkan teori terbabit.

Gunung berapi Anak Krakatau sudah memuntah debu dan lahar sejak beberapa bulan lalu. Ia juga dilaporkan meletus kira-kira 24 minit sebelum tsunami melanda pulau Jawa. – Reuters

139