Klinik Kesihatan Bakal Dibina Di Putatan Dan Pulau Gaya

PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari berkata dua buah Klinik Kesihatan bakal dibina di Putatan dan Pulau Gaya secepat mungkin demi kesejahteraan rakyat di kawasannya.

Dua dari kiri Pegawai Kesihatan Kawasan II Penampang Dr. Nornazirah Binti Ahmad Kamarudin (duduk dua dari kiri), Awang Husaini, (duduk tiga dari kanan), Dr. Ahmad Asyraf (duduk dua dari kanan) Dr Pee (duduk kanan) serta para pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang dan wakil pemaju dalam sesi dialog tersebut. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Perhubungan Parlimen Putatan

Perkara ini merupakan antara hasil sesi dialog bersama Pegawai-Pegawai Kanan Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang dan juga perjumpaan dengan Pegawai Kesihatan Kota Kinabalu baru-baru ini.


Rasional bagi pembinaan satu lagi klinik kesihatan di Putatan ialah masalah kesesakan pesakit yang dihadapi di Klinik Kesihatan sedia ada sekarang.

Menurut Awang Husaini pembinaan sebuah hospital daerah di sini dilihat tidak praktikal
kerana jarak yang dekat dengan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

Oleh itu, cadangan untuk membina sebuah lagi Klinik Kesihatan di daerah Putatan dilihat amat praktikal buat masa ini khusus untuk menampung kepadatan di Klinik Kesihatan Putatan.

Cadangan tersebut turut mendapat sokongan daripada pegawai kesihatan Penampang yang berharap ianya dapat direalisasikan dengan segera.

Sementara itu, dalam perjumpaan beliau dengan Pegawai Kesihatan Kota Kinabalu Dr. Julaidah Sharip, tahap kualiti kesihatan terutamanya di Pulau Gaya antara topik perbincangan.

Keperluan untuk membina sebuah Klinik Kesihatan Mini di Pulau Gaya amat penting termasuk dari segi mempromosikan pencegahan penyakit dari masa ke semasa, katanya.

Selain itu, lokasi perkampungan yang terletak di kawasan pulau di dalam Bandaraya Kota Kinabalu secara tidak langsung menjejaskan pergerakan para pesakit untuk mendapatan rawatan.

Menurut Awang Husaini, ini mengundang bahaya kepada penyebaran pelbagai wabak dan penyakit yang akan membahayakan masyarakat di kawasan Pulau Gaya.

Beliau berkata cadangan-cadangan ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan persekutuan bagi mendapatkan maklumbalas dan kelulusan segera.

Beliau percaya dengan kerjasama erat Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang serta Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu segala cadangan yang telah disuarakan akan dapat direalisasikan demi untuk meningkatkan kesejahteraan seluruh masyarakat di kawasan Putatan. -SabahNewsToday

369