Ibu Singa

Wanita yang digelar Ibu Singa menceritakan kisahnya kepada wartawan. – Agensi

CAPE TOWN: Seorang wanita mendapat gelaran ‘Ibu Singa’ apabila dia menikam seorang lelaki hingga mati dan mencederakan dua yang lain dalam usaha untuk menyelamatkan anaknya yang dirogol tiga lelaki berkenaan.

Kejadian itu yang menggemparkan Afrika Selatan berlaku pada September tahun lalu dan ibu berusia 57 tahun juga gembira dua lelaki yang terselamat itu dihukum penjara 30 tahun kerana merogol baru-baru ini.

Mail Online melaporkan, ketika kejadian, wanita itu sedang memotong sayur di rumahnya di sebuah kampung berhampiran Zwartwater sebelum seorang penduduk memberitahu anak perempuannya yang berusia 27 tahun ditarik tiga lelaki ke dalam sebuah rumah.

Selepas gagal menghubungi balai polis berhampiran, wanita itu yang memegang pisau berlari sejauh hampir tiga kilometer ke rumah berkenaan dan terdengar suara anaknya meminta tolong.

Wanita itu yang tidak didedahkan identitinya segera menyerbu ke dalam rumah dan terkejut melihat tiga lelaki yang dalam keadaan bogel sedang bergilir-gilir merogol anaknya.

Kerana berang wanita itu bertindak menyerang lelaki berkenaan menyebabkan seorang daripada mereka mati dan dua lagi cedera parah dan terbaring berlumuran darah di lantai.

Keberanian wanita itu menyebabkan dia digelar ‘Ibu Singa’ tetapi dia turut didakwa atas tuduhan membunuh sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.

Satu dana bagi membantu wanita itu berjaya mengumpul wang hampir £10,000 (RM52,800) dan seorang peguam menawarkan perkhidmatannya secara percuma.

Bagaimanapun, tiga minggu kemudian, Pihak Berkuasa Pendakwaan Kebangsaan menggugurkan tuduhan berkenaan.

Dua perogol yang terselamat terlepas hukuman penjara seumur hidup kerana hakim berpendapat kecederaan parah yang mereka alami dalam serangan berkenaan sudah cukup untuk menginsafkan mereka.

Wanita itu berkata, seseorang ibu sanggup mengorbankan nyawa demi anak dan dia berharap kejadian itu memberi pengajaran kepada orang ramai.

Secara keseluruhan, 110 kes rogol dilaporkan setiap hari di Afrika Selatan tetapi pakar percaya jumlah sebenar mungkin empat kali ganda kerana kebanyakan mangsa takut atau malu untuk membuat laporan. – Agensi

102