KOTA KINABALU: Musim cuti sekolah hujung tahun lazimnya menjadi lubuk rezeki berganda kepada peniaga di Pasar Kraftangan, Pasar Ikan Masin dan Pasar Terbuka Kota Kinabalu, di sini.
Ini kerana pengunjung dari Semenanjung, Sarawak dan Brunei lazimnya menjadikan cuti sekolah hujung tahun berkunjung ke negeri ini bercuti sambil mengunjungi pasar berkenaan.
Bagaimanapun, berbeza dengan tahun sebelumnya, pendapatan peniaga di semua pasar berkenaan mengalami penurunan, pada tahun ini.
Seorang peniaga, Abby Lalo, 42, berkata lazimnya setiap penghujung November, pengunjung sudah mula datang, bagaimanapun kali ini agak mengecewakan.
“Kita melihat keadaan ini berlaku sejak cuti sekolah pada penghujung tahun lalu lagi, tetapi keadaan sekarang semakin menunjukkan penurunan.
“Jika dibandingkan dengan keadaan dua tahun sebelum ini, pelanggan (pelancong) menunggu lebih awal semata-mata hendak membeli barangan untuk dibawa pulang,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Abby, berniaga pelbagai barangan termasuklah ikan bilis, udang kering, ikan masin dan kopi tenom.
Seorang peniaga kraftangan, Yumi Picky, 33, turut mengakui kurangnya jumlah pengunjung yang ketara ke gerainya di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu.
“Sebelum ini, asal cuti sekolah saja, pendapatan kami di sini memang meningkat malah mencecah lebih RM300 sehari, tetapi sekarang untuk mendapat RM100 sehari pun sukar.
“Harga barang di pasar ini juga masih seperti dulu tetapi mungkin keadaan ekonomi sekarang yang menjadi faktor kurangnya pengunjung ke pasar ini,” katanya.
Bagaimanapun tinjauan NSTP mendapati masih ada pengunjung khususnya dari Semenanjung datang ke kawasan tiga pasar itu untuk melihat pelbagai barangan yang dijual di situ.
Mohd Latif Samad, 50, dari Johor berkata dia datang ke negeri itu bersama rombongan seramai 14 orang yang terdiri daripada keluarga dan rakan-rakannya.
“Sabah memang sering menjadi pilihan destinasi percutian dalam negara kerana memiliki banyak lokasi menarik untuk dikunjungi, termasuk di Pasar Kraftangan dan Pasar Ikan Masin,” katanya yang datang ke Sabah buat kali keempat pada tahun ini. – Berita Harian