Nelayan hilang di Kinabatangan belum dapat dikesan – polis

KOTA KINABALU, 8 Dis – Polis Sabah masih belum dapat mengesan dan menjumpai sekumpulan nelayan dilaporkan hilang di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada 5 Dis lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Beliau berkata tiada sebarang maklumat terkini diterima setakat ini dan polis sedang menunggu perkembangan lanjut mengenai kejadian itu.

Omar berkata pihaknya juga masih belum dapat mengesahkan individu terbabit diculik atau sebaliknya kerana belum ada sebarang laporan polis diterima daripada anggota keluarga mangsa atau mana-mana pihak menyatakan perkara itu.

“Polis menjalankan siasatan di bawah kes orang hilang. Kita belum dapat memastikan sama ada mangsa diculik atau hilang kerana belum ada laporan polis (mengenai perkara itu meskipun) ada khabar angin menyatakan mereka telah diculik dan dibawa ke negara jiran.

Jika polis ada menerima panggilan daripada suspek menyatakan mereka telah mengambil mangsa ini dan dibawa ke mana-mana tempat persembunyian, (maka selepas itu) barulah polis dapat mengesahkannya (diculik atau tidak). Sehingga kini, polis belum ada menerima laporan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program gotong royong anggota polis Kontinjen Sabah bersama Persatuan Keluarga Polis di Taman Awam Teluk Likas, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Omar berkata, polis mendapat maklumat menyatakan pihak keluarga mangsa telah menerima panggilan kononnya daripada suspek, namun, salah seorang isteri mangsa menafikan perkara itu ketika ditemu ramah polis.

“Dia (isteri mangsa) menafikan ada menerima panggilan yang menyatakan suami dan mangsa lain telah diculik,” katanya.

Mengenai jumlah mangsa, Omar berkata, polis juga masih belum dapat mengesahkan sama ada tiga atau empat nelayan terlibat dalam kejadian itu seperti dilaporkan sebelum ini dan polis akan meneruskan siasatan mengenai perkara berkenaan.

Pada 5 Dis, seorang pemilik bot melaporkan seorang tekong dan tiga nelayan hilang di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan.

Kesemua nelayan terbabit berumur antara 19 hingga 40 tahun masing-masing dua warga asing manakala dua lagi rakyat tempatan.

– BERNAMA

154